Wednesday, September 12, 2007

APA ITU HARTA PUSAKA?

Harta saya hari ini.
Hari ini kita mempunyai pelbagai jenis harta sama ada kita sedari atau tidak. Antara harta yang kita miliki hari ini ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ( KWSP ), akaun-akaun simpanan atau semasa di bank, rumah, tanah, kenderaan seperti kereta dan motosikal, simpanan di Lembaga Tabung Haji, akaun pelaburan seperti di ASB, polisi insuran, polisi takaful, saham syarikat, saham koperasi, jam tangan rolex, barang kemas dan sebagainya. Pendek kata apa sahaja material yang merupakan milik sah kita dan mempunyai nilai adalah harta kita.

Harta pusaka saya hari esok.

Kesemua harta yang kita miliki di atas, sebaik sahaja kita meninggal dunia akan menjadi milik sah waris-waris kita mengikut Hukum Faraid. Mereka ( waris ) mempunyai bahagian ke atas harta pusaka itu mengikut kadar seperti yang ditentukan oleh Hukum Faraid. Semua orang mempunyai waris Faraid yang berbeza-beza.

Bagaimanakah harta pusaka ini diuruskan?

Harta pusaka adalah amanah yang mesti diuruskan dengan baik oleh pentadbir harta pusaka tersebut. Pentadbir pusaka boleh dilantik di kalangan waris-waris atau syarikat amanah berlesen. Dia (pentadbir harta pusaka) perlu menjalankan banyak tugas seperti mengumpulkan waris-waris, mendapatkan maklumat mengenai harta dan hutang si mati, memfailkan permohonan pusaka sama ada di Amanah Raya Berhad, Pejabat Pesaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil, memegang secara amanah harta, mengagihkan harta pusaka dan sebagainya. Sesuatu urusan harta pusaka itu boleh diselesaikan dengan cepat sekiranya pentadbir harta pusaka itu mempunyai pengetahuan dan pengalaman di dalam menjalankan tanggungjawabnya. Masalahnya, ramai orang tidak tahu apa yang mesti dilakukan dan ke mana harus mereka pergi sekiranya mereka ingin menjalankan tanggungjawab ini.



Wasiat & Hibah untuk orang Islam.
Fungsi wasiat Islam. Fungsi utama dokumen wasiat Islam ialah memperuntukkan sebahagian daripada harta pusaka untuk tujuan beramal jariah. Peruntukan ini tidak boleh melebihi 1/3 daripada harta pusaka untuk diberikan kepada bukan waris. Peruntukan ini juga perlu di tolak terlebih dahulu sebelum pembahagian harta pusaka kepada waris yang berhak dilakukan.

Fungsi hibah. Fungsi utama hibah adalah untuk memberikan harta kepada sesiapa yang dikehendaki tanpa boleh dicabar oleh waris yang lain. Hibah dibuat semasa hidup tetapi pertukaran hak milik dibuat selepas kematian.


ALLAH S.W.T telah berfirman: dalam (an-Nisa : 11)
Allah mensyariatkan bagimu tentang (pembahagian pusaka) anak-anakmu. Iaitu, bahagian seorang anak laki-laki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan; dan jika anak itu semuanya perempuan lebih daripada dua, maka bagi mereka dua per tiga daripada harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka dia memperolehi separuh harta. Dan untuk dua orang ibu bapa, bagi masing-masingnya satu perenam daripada harta yang ditinggalkan jika orang yang meninggal itu mempunyai anak dan dia diwarisi oleh ibu bapanya sahaja, maka ibunya mendapat sepertiga; jika yang meninggal itu mempunyai beberapa orang saudara, maka ibunya mendapat seperenam. (Pembahagian-pembahagian tersebut di atas sudah dipenuhi wasiat yang dibuatnya atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. (Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa antara mereka yang lebih dekat (banyak) manafaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan daripada Allah.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (an-Nisa : 11)


No comments: