Wednesday, September 12, 2007

FAKTA DAN KEPENTINGAN WASIAT

Apa itu Dokumen Wasiat?
Wasiat adalah satu dokumen bertulis mengenai arahan-arahan si pewasiat tentang apa yang perlu dilakukan oleh wasi dan waris-warisnya selepas kematiannya. Arahan tentang bagaimana harta-harta pewasiat juga boleh dimasukkan ke dalam dokumen wasiat.

Kenapa dokumen wasiat penting?
Harta yang tidak mempunyai penama seperti hartanah, akaun simpanan dan semasa dan yang lainnya akan dibekukan apabila tuan punya meninggal dunia. Proses pewarisan harta-harta di atas tanpa dokumen wasiat akan mengambil masa lebih lama berbanding jika simati mempunyai dokumen wasiat.

Siapa yang perlu membuat wasiat?
1. Pemilik-pemilik harta
2. Ibu atau Bapa tunggal
3. Pasangan yang tiada anak
4. Pasangan yang mempunyai anak angkat
5. Pasangan yang tiada anak lelaki
6. Pasangan yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun


KEPENTINGAN PENULISAN WASIAT.

PERLANTIKAN WASI – merupakan elemen terpenting didalam penulisan wasiat. Ini adalah kerana Wasi haruslah seorang yang amanah dan adil kerana tanggungjawabnya adalah memastikan harta si mati diagihkan secara adil dan setiap waris yang sah dan layak menerima bahagian mereka.

PENGISYTIHARAN HARTA SEPENCARIAN – wasiat akan memastikan Harta Sepencarian diperuntukkan kepada pasangan sebelum pembahagian harta mengikut Hukum Faraid dijalankan. Harta Sepencarian juga dianggap sebagai hutang kepada pasangan dan ia juga dapat memudahkan proses tuntutan pasangan dan melindungi hak pasangan.

PERLANTIKAN PENJAGA BAGI ANAK DI BAWAH 18 TAHUN – melalui wasiat, perlantikan penjaga bagi anak di bawah 18 tahun boleh dilakukan untuk menjaga kebajikan anak-anak sekiranya anda dan pasangan anda meninggal dunia secara serentak atau berturut-turut. Pelantikan penjaga yang sesuai akan menjamin masa depan anak-anak anda.

MEMBUAT KEBAJIKAN / AMAL JARIAH – di dalam wasiat, anda boleh memperuntukkan sebahagian daripada harta untuk diberikan kepada bukan waris (tidak melebihi 33%) bagi tujuan kebajikan. Amalan ini akan memastikan ganjaran yang setimpal dari Allah S.W.T.

No comments: